Tuesday 5 June 2012

Teori Huraian Bahasa

Teori Huraian Bahasa  
Teori huraian bahasa dapat dibahagikan kepada empat aliran pemikiran iaitu teori tradisional,  teori struktural, teori transformasi generatif dan teori fungsional.

Teori Tradisional
            Teori ini telah dipelopori oleh Panini pada abad ke-15. Kajian bahasa dalam teori ini adalah dibuat terhadap bentuk-bentuk tulisan. Kajian yang dilakukan oleh ahli bahasa Arab ialah terhadap tulisan Al-Quran manakala orang Hindu pula mengkaji tulisan Sankrit. Menutur pandangan teori ini, bahasa boleh berkembang. Setiap bahasa mempunyai hubungan dengan bahasa induk.
      Teori ini juga berpendapat bahawa tatabahasa bersifat sejagat dan berasaskan tatabahasa Yunani dan Latin. Bahasa merupakan cabang ilmu falsafah yang menyelidik tabii alam. Kajian yang dilakukan terhadap bahasa bersifat deduktif iaitu mementingkan hukum-hukum sesuatu bahasa. Pengkaji teori ini juga menetapkan golongan kata kepada kata nama, kata sifat dan kata kerja.
       Pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan kaedah tradisional adalah lebih kepada aktiviti terjemahan. Unsur penting ketika mengaplikasikan teori ini ialah kemahiran menulis diutamakan. Hal ini kerana kajian yang dilakukan adalah berdasarkan bahan tulisan. Aktiviti terjemahan ditekankan kerana sifat bahasa yang sejagat. Selain itu, makna sesuatu perkataan juga ditekankan kerana makna perlu difahami ketika pertuturan. Kesilapan umum yang dilakukan perlu dibetulkan kerana akan menjadi masalah yang utama. Teori ini juga menyatakan kekecualian hukum dalam bahasa. Hal ini kerana setiap hukum tidak dapat dielak dari kekecualiannya. Manakala penyampaian pengajaran adalah secara deduktif yang mementingkan penghafalan hukum.

Teori Struktural
            Teori ini dipelopori oleh Bloomfield pada abad ke-20. Kajian yang dilakukan adalah mengenai fonem dan morfem serta kaitan fonem, morfem dan ayat. Menurut teori ini, ciri-ciri bahasanya bersifat pertuturan, bersistem, arbitrari dan untuk perhubungan. Ahli-ahli bahasa ini banyak mengumpulkan bahan pertuturan dan mementingkan fakta-fakta yang dilihat dan ditemui.
            Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa pula, teori ini  menggunakan kaedah terus, fonetik, linguistik dan audiolingual. Unsur penting dalam teori ini ialah hafalan struktur ayat yang betul. Lisan juga merupakan salah satu unsur pening di dalam teori ini. Pengetahuan tentang fonetik, morfologi dan sintaksis diperolehi daripada contoh-contoh ayat. Selain itu, teori ini tidak mementingkan makna perkataan dan pembelajaran bahasa adalah bersifat mekanis.

Teori Transformasi Generatif
            Teori Transformasi Generatif bermula pada tahun 50-an dan dipelopori oleh Noam Chomsky. Berdasarkan teori ini, bahasa ialah aktiviti mental yang mempunyai sistem tentang rumus-rumus yang abstrak dan bersifat sejagat. Semua kanak-kanak normal mampu menguasainya. Bahasa terdiri daripada bunyi (surface structure) dan makna (deep structure).
            Setiap ayat mempunyai struktur dalaman (makna) dan struktur permukaan (fonetik) yang menghasilkan pertuturan. Setiap bahasa perlu mempunyai satu set rumus fonetik, morfologi, sintaksis dan perbendaharaan kata. Selain itu, bahasa mempunyai rumus-rumus dasar dan rumus-rumus transformasi. Bahasa adalah kreatif dan penutur yang natif boleh menghasilkan ayat-ayat yang belum pernah didengari. Misalnya, hasilan sajak dan puisi yang menggunaka bahasa yang kreatif. Bahasa juga adalah sejagat. Setiap kanak-kanak dapat menguasai bahasa ibunda mereka masing-masing.
            Pada pandangan ahli bahasa teori ini, pengajaran dan pembelajaran bahasa adalah membentuk kecekapan bukan kebiasaan. Selain itu, bahasa ialah aktiviti mental. Oleh sebab itu, guru perlu mengambil kira kebolehan sejadi murid-murid. Pada masa yang sama, guru perlulah menggalakkan murid membentuk pertuturan baharu secara kreatif berdasarkan pengetahuan tentang rumus-rumus bahasa yang diberi bukanlah menghafal ayat-ayat yang diberi semata-mata. Guru juga boleh mengajar murid-murid bentuk-bentuk dasar terlebih dahulu diikuti dengan bentuk-bentuk transformasi mengikut senang kepada sukar. Apabila murid melakukan kesilapan, guru boleh menggunakan kesilapan murid-murid sebagai asas membaikinya kerana kesilapan bukan satu kesalahan tetapi satu proses pembelajaran. Teori ini juga mementingkan penulisan kecekapan.

Teori Fungsional
            Teori ini bermula pada tahun 60-an sehingga 70-an dan dipelopori oleh Haliday dan Wilkins. Berdasarkan teori ini, bahasa mempunyai struktur tertentu untuk menggambarkan fungsinya sebagai idealisme (penyampaian idea) interpersonal dan pengucapan umum. Fungsi sosialnya penting untuk membentuk sistem bahasa.
            Teori fungsional menganggap sistem bahasa adalah terbuka dan dinamik. Bahasa terdiri daripada satu struktur yang mempunyai fungsi tertentu sebagai alat berfikir (idealisme), alat perhubungan dengan orang lain (komunikasi interpersonal) dan alat pengucapan umum. Bahasa juga terdiri daripada variasi-variasi iaitu pelbagai dan berubah-ubah untuk menentukan fungsinya. Misalnya, laras bahasa mengikut situasi, tempat, bidang dan sebagainya. Selain itu, bahasa merupakan alat perhubungan menggambarkan pemikiran penuturnya. Manakala semantik pula merupakan elemen penting bahasa. Asas kajian bahasa ialah makna bukan sintaksis.
     Pengimplikasian teori ini dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa adalah menggunakan pendekatan komunikatif. Murid harus diajar menguasai sistem bahasa dan menggunakannya dalam situasi sosial secara fleksibel dan spontan. Seseorang murid itu perlu memahami maksud sosial bahasa yang dipelajari. Guru juga perlu memastikan sistem bahasa yang dipelajari oleh murid, mestilah difahami sebagai sebahagian daripada sistem bersifat komunikatif. Seterusnya, murid sepatutnya boleh menggunakan pelbagai strategi berbahasa untuk menyampaikan makna, unsur-unsur para linguistik dan unsur-unsur supra segimental atau prosodi. Dari aspek membaiki kesilapan murid bahasa pula, guru perlu membaiki bahasa dengan bentuk-bentuk bahasa yang lain. Seseorang murid hanya dianggap cekap berbahasa jika dia menguasai sistem atau hukum tatabahasa dengan sempurna dan boleh menggunakan sistem tersebut dalam situasi sosial.

No comments:

Post a Comment