Tuesday, 5 June 2012

Konsep Strategi: Penilaian

Penilaian
             
Penilaian merupakan satu proses atau aktiviti yang bersistematik bagi memperoleh maklumat yang berguna dalam menentukan sesuatu prestasi. Dalam KBSR penilaian merupakan satu proses untuk menguji, mengukur dan membuat pertimbangan mengenai kebolehan atau kemahiran dan kefahaman murid berdasarkan objektif pengajaran dan pembelajaran. Penilaian terbahagi kepada tiga jenis aktiviti iaitu penilaian mengesa penguasaan, penilaian mengesan kemajuan dan penilaian mengesan pencapaian. Penilaian mengesan penguasaan dijalankan ketika guru berada di dalam bilik darjah. Tujuan utamanya adalah untuk mengesan kelemahan penguasaan murid dalam sesuatu kemahiran bahasa yang sedang diajarkan supaya kelemahan itu dapat dibetulkan dengan serta-merta.
             
Penilaian mengesan kemajuan biasa dilakukan selepas beberapa kemahiran dalam sesuatu topik telah selesai diajarkan. Penilaian ini bertujuan untuk mengesan kemajuan murid tentang kemahiran-kemahiran yang telah dipelajari supaya dapat menentukan siapa yang memerlukan aktiviti pengayaan dan pemulihan. Manakala penilaian mengesan pencapaian dijalankan selepas guru telah mengajar beberapa topik pelajaran, biasanya dalam tempoh satu penggal. Tujuannya adalah untuk mengesan pencapaian murid dalam beberapa topik pelajaran untuk menentukan kedudukan murid-murid dalam kumpulan masing-masing.
             
Ketiga-tiga aktiviti penilaian tersebut boleh digolongkan kepada dua jenis iaitu penilaian formatif dan penilaian sumatif. Penilaian formatif melibatkan penafsiran yang sistematik yang dilakukan sepanjang pengajaran dan pembelajaran sebaik sahaja guru dapat mengesan tahap penguasaan sesuatu unit kemahiran pelajaran muridnya. Penilaian ini juga menggunakan pemerhatian, latihan dan senarai semak untuk mengesan dengan segera sama ada murid telah menguasai sesuatu kemahiran yang sedang diajar. Guru boleh menggunakan maklumat yang diperoleh untuk membimbing murid serta membaiki kelemahan ketika pembelajaran berlangsung.
           
Ketika melaksanakan penilaian ini, guru perlu menentukan unit atau tajuk pembelajaran. Kemudian, menentukan tahap atau peringkat pencapaian yang dikehendaki. Seterusnya, menyusun perkara-perkara yang akan diuji dalam unit. Berikutnya, membina item-item ujian dan akhir sekali mengesyorkan langkah-langkah pemulihan, pengukuhan dan pengayaan bagi kemahiran yang berkaitan.
             
Penilaian sumatif ialah penilaian yang mengukur pencapaian terhadap objektif yang luas dan merangkumi kesemua tajuk serta bidang yang diajar dalam satu jangka masa tertentu. Penilaian ini membolehkan guru menentukan pencapaian objektif pengajaran di samping dapat menilai pencapaian murid.
             
Penilaian ini dijalankan dengan menggunakan ujian kertas-pensel, kemahiran amali atau soal jawab secara lisan. Sebaik sahaja selesai memeriksa jawapan murid, markah dan gred akan diberi.  Maklumat daripada penilaian sumatif boleh diguna oleh guru untuk menentukan tahap pencapaian murid seterusnya menentukan murid yang memerlukan pemulihan atau pengayaan.

"Kenali Saya Di Sini"

Konsep Strategi: Pemulihan

Pemulihan
            
 Pemulihan dihubungkan dengan kanak-kanak yang menghadapi kesulitan pembelajaran. Pengajaran pemulihan merupakan langkah khas yang guru lakukan untuk membantu murid yang menghadapi masalah pembelajaran tertentu dalam menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M). Sebaik sahaja masalah pembelajaran dikesan dan dikenal pasti, program ini terus dilaksanakan. Murid-murid pemulihan perlu diberikan pengajaran pemulihan mengikut kadar kemampuan murid menguasai sesuatu kemahiran supaya jurang perbezaan antara mereka dengan murid lain dapat dikurangkan atau dihapuskan sama sekali.

            Objektif program ini dilaksanakan adalah untuk membolehkan murid-murid menguasai kemahiran tertentu dengan mengikuti ativiti yang sesuai dengan mereka. Dalam program ini juga, murid akan mendapat layanan dan kemudahan belajar yang sesuai dengan kemampuan dan perkembangan mental mereka seterusnya mengurangkan masalah yang dihadapi. Selain itu, program ini juga dapat mengembangkan potensi dan minat mereka dalam pelajaran ke taraf yang lebih maju. Di samping itu,  murid akan mendapat peluang yang sama dengan melibatkan diri dalam aktiviti sosial sama ada di dalam atau di luar bilik darjah. Pada masa yang sama, murid dapat membina, memperoleh dan mengembangkan sikap percayakan diri sendiri dan berdikari. Akhir sekali, murid dapat meneruskan pelajaran mereka dalam sistem persekolahan biasa yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.

Konsep Strategi: Pengayaan


Pengayaan
             
Pengayaan adalah sejenis aktiviti pembelajaran yang menarik dan mencabar untuk memberi peluang kepada murid mengembangkan sifat ingin tahu, semangat berdikari, daya kreativiti dan semangat kepimpinan. Perkara  ini disediakan untuk semua murid sama ada untuk kumpulan cerdas, sederhana atau lemah. Aktiviti pengayaan berlainan daripada aktiviti pembelajaran kemahiran asas. Pengayaan diberi kepada murid selepas mereka berjaya menguasai kemahiran asas tertentu. Murid menggunakan kemahiran asas yang dikuasai untuk menjalankan aktiviti pengayaan. Aktiviti pengayaan akan meluaskan pengalaman dan pengetahuan murid sejajar dengan kebolehan dan minat mereka dalam bidang tertentu.

            Objektif pengayaan ialah murid dapat menggunakan kemahiran-kemahiran yang telah dikuasai dalam pelajaran biasa untuk memperluaskan pengalaman dan pengetahuan mereka dalam pelajaran tertentu. Selain itu, guru dapat melakukan kegiatan pembelajaran yang menarik dan mencabar kebolehan murid. Malahan, aktiviti pengayaan dapat melahirkan daya cipta melalui pemikiran dan kegiatan serta kebolehan untuk menilai sesuatu hasil kerja sendiri. Pada masa yang sama, aktiviti ini dapat memupuk minat dan menguasai bacaan luas dengan membuat rujukan terhadap pelbagai bahan dan sumber pengetahuan. Secara tidak langsung, murid akan cenderung untuk belajar sendiri dan berdikari untuk membolehkan mereka meneruskan pembelajaran seumur hidup.

            Sebagai seorang guru, kita perlu mengambil kira beberapa perkara semasa merancang aktiviti pengayaan. Misalnya, guru perlu menggunakan daya usaha sendiri dan membuat kerja sendiri serta hasilan kendiri. Guru juga harus memberi penekanan kepada aktiviti yang bersifat kreatif dan eksperimental. Selain itu, guru boleh menggunakan kaedah dan organisasi yang mudah diubah serta melibatkan pembacaan yang luas. Akhir sekali, guru akan mestilah memberi peluang kepada murid bagi mengembangkan sifat kepimpinan sosial.

            Contoh-contoh aktiviti yang boleh dijalankan di bawah program pengayaan ialah pembelajaran akses kendiri, kerja projek, bacaan tambahan, permainan dan rekreasi, serta pembelajaran berbantukan komputer.