Tuesday 5 June 2012

Aplikasi Teknik Dalam Bilik Darjah

APLIKASI TEKNIK DALAM BILIK DARJAH

Teknik yang digunakan oleh guru dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang saya lihat ialah teknik bercerita, teknik menghafaz dan latih tubi, teknik brainstorming, teknik main peranan dan teknik bersoal jawab. Pertama sekali guru mengaplikasikan teknik bercerita dengan mencerita cerita Gagak dengan Helang kepada murid-murid. Jalan cerita yang diceritakan oleh guru tidak jauh lari daripada teks yang diedarkan kepada murid-murid.
         
Selesai bercerita guru menggunakan teknik brainstorming. Guru mengemukakan soalan berbentuk pendapat. Soalan berbentuk pendapat selalunya jawapan yang diberi oleh murid boleh diterima dan pelru diterima oleh guru. Seandainya jawapan yang diberi kurang memuaskan, guru akan menerima dan membetulkannya kemudian. Soalan yang dikemukakan oleh guru ialah, “Jika awak adalah Si Gagak, apakah yang awak akan lakukan untuk mendapat semula kerang tersebut?” Soalan berbentuk andaian seperti yang dikemukan oleh guru tersebut, pasti jawapan yang diberi oleh murid adalah umum dan kebanyakkannya boleh diterima.
  
Sebelum itu, guru juga menggunakan teknik main peranan. Guru memilih murid secara rawak dan menyuruh murid melakonkan watak-watak dalam Gagak dengan Kerang tanpa merujuk teks yang diberi. Teknik ini secara tidak langsung dapat menceriakan situasi di dalam bilik darjah.
     
Guru juga menggunakan teknik soal jawab dalam pengajarannya. Secara umumnya, hampir setiap guru akan menggunakan teknik ini di dalam pengajaran mereka. Teknik ini membolehkan murid-murid berfikir dengan aktif untuk menjawab soalan-soalan guru. jelas saya katakan, sepanjang sesi pengajaran, guru tidak lepas untuk bersoal jawab dengan murid-murid. Teknik ini kerap kali digunakan oleh guru dalam pengajarannya.

Akhir sekali, teknik menghafaz dan latih tubi. Setelah guru selesai bercerita, murid-murid diminta membaca petikan yang diedarkan kemudian murid diminta menyusun kad-kad gambar yang disediakan berdasarkan jalan cerita Gagak dengan Kerang mengikut kronologi. Seterusnya murid diminta mencari kata-kata kunci berdasarkan teks. Murid akan mengimbas kembali cerita dan memilih kad-kad imbasan perkataan yang sesuai dengam gambar dan menyusunnya mengikut jalan cerita.
            
Kaedah yang digunakan oleh guru dalam bilik darjah ialah kaedah ajuk-hafaz dan kaedah psikologi. Kaedah ajuk hafaz digunakan apabila murid mengajuk-hafaz cara guru menyampaikan cerita dan intonasi guru dalam menyampaikan cerita tersebut. Murid membentuk kumpulan dan membacanya seperti guru mereka dengan intonasi yang betul.
           
Kaedah kedua ialah kaedah psikologi iaitu guru ada menyoalkan soalan yang membentuk pengambaran fikiran dan asosiasi idea. Guru menyoal murid tentang “Sekiranya mereka ialah Si Gagak, apakah yang akan mereka lakukan?”. Soalan ini secara tidak langsung mewujudkan asosiasi idea murid terhadap apa yang akan mereka lakukan seandainya mereka Si Gagak. Penggunaan alat-alat bantu mengajar langsung tidak dapat dinafikan, guru tersebut sememangnya menggunakan bahan bantu mengajar dalam pengajarannya.

Manakala pendekatan yang diaplikasikan leh guru dalam pengajaran dan pembelajaran ialah pendekatan secara induktif. Jelas saya katakan, guru tersebut sememangnya berjaya menyediakan struktur  isi yang hendak disampaikan dalam bilik darjah. Setiap perkara yang dilakukan oleh guru telah menyediakannya dengan tersusun dan terancang. Pengajaran berlangsung dari aras mudah ke sukar, dari perkenalan perkataan-perkataan dan melengkapkannya menjadi ayat tunggal yang lengkap.
           
Selain itu, strategi persoalan juga dibina oleh guru untuk membina konsep yang hendak dipelajari. Contohnya, guru ingin mengajar tentang ayat tunggal, guru mengenalkan murid dengan perkataan-perkataan kemudian menyuruh murid melengkapkan ayat-ayat tunggal yang disediakan. Untuk menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran bertambah menarik, guru telah menyediakan sebuah cerita untuk menjadikan pengajaran lebih menarik. Di akhir pengajaran, murid dapat menguasai konsep ayat tunggal.

Sudah pasti guru tersebut juga berjaya merancang aktiviti yang hendak dilakukan dengan baik. Guru bermula dengan bercerita kemudia murid mengajuk cara penceritaan guru. Seterusnya mengadakan main peranan untuk menguji intonasi dan cara penyampaian murid secara spontan. Berikutnya, guru mula membawa murid untuk mengenali ayat tunggal dengan mengenali kata-kata kunci setiap kad-kad gambar, seterusnya melengkapkan ayat-ayat tunggal yang disediakan.

Bahan-bahan bantu mengajar disediakan oleh guru dengan baik dan langkap. Murid-murid tertarik dengan bahan-bahan yang disediakan malahan memberi kerjasama yang baik kepada guru. Pada masa yang sama, guru tersebut juga sentiasa membimbing dan menghulurkan bantuan kepada murid-murid yang menghadapi masalah. Jelaslah bahawa, guru ini menggunakan pendekatan induktif dalam pengajarannya.

"Kenali Saya Di Sini"

No comments:

Post a Comment