Tuesday 5 June 2012

Konsep Strategi: Penilaian

Penilaian
             
Penilaian merupakan satu proses atau aktiviti yang bersistematik bagi memperoleh maklumat yang berguna dalam menentukan sesuatu prestasi. Dalam KBSR penilaian merupakan satu proses untuk menguji, mengukur dan membuat pertimbangan mengenai kebolehan atau kemahiran dan kefahaman murid berdasarkan objektif pengajaran dan pembelajaran. Penilaian terbahagi kepada tiga jenis aktiviti iaitu penilaian mengesa penguasaan, penilaian mengesan kemajuan dan penilaian mengesan pencapaian. Penilaian mengesan penguasaan dijalankan ketika guru berada di dalam bilik darjah. Tujuan utamanya adalah untuk mengesan kelemahan penguasaan murid dalam sesuatu kemahiran bahasa yang sedang diajarkan supaya kelemahan itu dapat dibetulkan dengan serta-merta.
             
Penilaian mengesan kemajuan biasa dilakukan selepas beberapa kemahiran dalam sesuatu topik telah selesai diajarkan. Penilaian ini bertujuan untuk mengesan kemajuan murid tentang kemahiran-kemahiran yang telah dipelajari supaya dapat menentukan siapa yang memerlukan aktiviti pengayaan dan pemulihan. Manakala penilaian mengesan pencapaian dijalankan selepas guru telah mengajar beberapa topik pelajaran, biasanya dalam tempoh satu penggal. Tujuannya adalah untuk mengesan pencapaian murid dalam beberapa topik pelajaran untuk menentukan kedudukan murid-murid dalam kumpulan masing-masing.
             
Ketiga-tiga aktiviti penilaian tersebut boleh digolongkan kepada dua jenis iaitu penilaian formatif dan penilaian sumatif. Penilaian formatif melibatkan penafsiran yang sistematik yang dilakukan sepanjang pengajaran dan pembelajaran sebaik sahaja guru dapat mengesan tahap penguasaan sesuatu unit kemahiran pelajaran muridnya. Penilaian ini juga menggunakan pemerhatian, latihan dan senarai semak untuk mengesan dengan segera sama ada murid telah menguasai sesuatu kemahiran yang sedang diajar. Guru boleh menggunakan maklumat yang diperoleh untuk membimbing murid serta membaiki kelemahan ketika pembelajaran berlangsung.
           
Ketika melaksanakan penilaian ini, guru perlu menentukan unit atau tajuk pembelajaran. Kemudian, menentukan tahap atau peringkat pencapaian yang dikehendaki. Seterusnya, menyusun perkara-perkara yang akan diuji dalam unit. Berikutnya, membina item-item ujian dan akhir sekali mengesyorkan langkah-langkah pemulihan, pengukuhan dan pengayaan bagi kemahiran yang berkaitan.
             
Penilaian sumatif ialah penilaian yang mengukur pencapaian terhadap objektif yang luas dan merangkumi kesemua tajuk serta bidang yang diajar dalam satu jangka masa tertentu. Penilaian ini membolehkan guru menentukan pencapaian objektif pengajaran di samping dapat menilai pencapaian murid.
             
Penilaian ini dijalankan dengan menggunakan ujian kertas-pensel, kemahiran amali atau soal jawab secara lisan. Sebaik sahaja selesai memeriksa jawapan murid, markah dan gred akan diberi.  Maklumat daripada penilaian sumatif boleh diguna oleh guru untuk menentukan tahap pencapaian murid seterusnya menentukan murid yang memerlukan pemulihan atau pengayaan.

"Kenali Saya Di Sini"

No comments:

Post a Comment