Tuesday 5 June 2012

Konsep Pendekatan: Induktif, Deduktif, Elektik, Komunikatif


KONSEP PENDEKATAN
            
Mengikut Kamus Dewan pendekatan merupakan cara atau langkah-langkah yang diambil bagi memulakan dan melaksanakan sesuatu tugas seperti mengatasi masalah. Pendekatan boleh dimaksudkan sebagai kaedah atau cara sesuatu tugasan itu dilaksanakan. Pendekatan di dalam bidang pendidikan merujuk kepada satu set teori pembelajaran yang beraksiomatik dan diamalkan dalam pengajaran sesuatu mata pelajaran berdasarkan kepada objektifnya. Beraksiomatik di sini membawa maksud sebagai kenyataan yang diberikan tidak memerlukan bukti dan alasan.

Di dalam konteks pendidikan, konsep pendekatan bermakna cara mendekati sesuatu iaitu merujuk kepada cara bagaimana sesuatu mata pelajaran diajarkan untuk mencapai objektifnya. Sebagai guru yang mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya mestilah mengetahui terlebih dahulu latar belakang mereka. Hal ini kerana, dengan mengetahui latar belakang mereka, guru tersebut dapat memilih dan merancang pengajarannya dengan menggunakan pendekatan yang sesuai. Guru tidak boleh menggunakan pendekatan yang sama terhadap murid yang berlainan. Hal ini dikhuatiri proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan tidak berkesan iaitu tidak mencapai objektif. Sekiranya guru dapat mengenal pasti sifat atau keperluan murid-muridnya, maka guru tersebut akan dapat memilih dan menggunakan pendekatan yang sesuai, tepat dan betul supaya proses pengajaran dan pembelajaran berlaku secara efektif.
             
Pendekatan pengajaran yang berasaskan pengelolaan murid adalah seperti pendekatan individu, pendekatan pasangan, pendekatan kumpulan, pendekatan kelas, pendekatan kelas bercantum dan sebagainya. Pendekatan yang dimaksudkan di sini tidak menyentuh tentang kaedah yang boleh digunakan dalam pengajaran. Guru adalah bebas memilih kaedah yang difikirkan wajar bagi setiap pendekatan tersebut.
            
Berdasarkan kriteria bagaimana isi pelajaran disampaikan maka terdapatlah pendekatan induktif, pendekatan deduktif, pendekatan eklektik, pendekatan dari segi isi mudah ke isi susah dan pendekatan dari isi maujud ke isi abstrak.
            
Pendekatan yang memberi tumpuan kepada pengajar disebut sebagai pendekatan memusatkan guru manakala pengajaran yang mementingkan murid disebut sebagai pendekatan memusatkan murid. Kaedah-kaedah yang seiring dengan pendekatan yang memusatkan guru adalah seperti kaedah syarahan dan kaedah demonstrasi manakala kaedah-kaedah pengajaran yang selari dengan pendekatan pengajaran yang memusatkan murid adalah seperti kaedah menyelesaikan masalah, kaedah bermain dan kaedah perbincangan kumpulan.

            Terdapat juga pendekatan-pendekatan yang digunakan untuk mengajar beberapa mata pelajaran mengikut tema-tema pelajaran. Contohnya pengajaran dalam Alam dan Manusia menggunakan perdekatan interdisiplin atau pendekatan bersepadu. Hal ini adalah kerana beberapa mata pelajaran seperti Sejarah, Geografi dan Kesihatan digabungkan menjadi suatu mata pelajaran yang baharu. Pendekatan ini adalah sama dengan pengajaran Sains Panduan di mana Biologi, Fizik serta Kimia digabungkan dan diajar mengikut tema-tema tertentu.

Pendekatan Induktif

Pendekatan Indukif ialah pendekatan yang melibatkan aktiviti mengumpul dan mentafsir maklumat-maklumat kemudian membuat generalisasi dan kesimpulannya. Maksudnya di sini ialah menggunakan pendekatan dengan mengemukakan contoh yang khusus kepada murid-murid kemudian murid-murid akan berfikir seterusnya akan membuat generalisasi atau kesimpulan umum yang berkaitan dengan contoh tersebut. Perkara ini dapat membimbing murid-murid memerhati, mengkaji, mengenal pasti prinsip atau fakta penting yang terkandung dalam setiap contoh itu. Dengan cara ini, murid-murid mudah ingat dan faham dengan isi pengajaran guru kerana dengan membuat teori atau kesimpulan umum tersebut murid mudah mengingati dan mengaplikasikannya semasa menjawab peperiksaan.

Pendekatan Deduktif

Pendekatan kedua ialah pendekatan Deduktif. Pendekatan Deduktif boleh ditakrifkan sebagai sesuatu pendekatan mengajar yang bermula daripada sesuatu atau beberapa rumus, prinsip, hukum, teorem atau peraturan diikuti dengan aplikasinya ke atas contoh-contoh yang khusus. Guru memberikan rumus, prinsip, hukum, teorem atau peraturan tertentu kepada murid dan mengajarnya kepada murid sehingga murid memahami, kemudian murid akan mengaplikasikannya atau menggunakannya sebagai proses menyelesaikan masalah dalam Matematik.

Kadang kala pendekatan deduktif ini juga digunakan untuk mendapatkan kesimpulan atau generalisasi yang baharu daripada rumus, prinsip, hukum, teorem atau peraturan yang telah diketahui. Maksudnya di sini ialah daripada rumus, prinsip, hukum, teorem atau peraturan tertentu, murid-murid dapat memahami sesuatu yang baharu. Mereka mungkin memperoleh idea yang baharu bagi menyelesaikan sesuatu permasalahan. Daripada idea atau pemahaman yang baharu itu boleh dibentuk rumus, prinsip, hukum, teorem atau peraturan yang baharu asalkan tidak terpesong daripada konsep masing-masing.

Dalam pendekatan deduktif ini, guru memberitahu murid objektif pada peringkat awal. Murid dibimbing mengingat hukum, prinsip, teorem atau peraturan yang berkaitan untuk membolehkan mereka menyelesaikan masalah atau mendapatkan kesimpulan yang baharu.            
Pendekatan Eklektik     

Seterusnya ialah pendekatan eklektik. Pendekatan ini adalah satu pendekatan yang diwujudkan hasil daripada gabungan dua atau beberapa pendekatan. Segala ciri-ciri baik yang terdapat dalam pendekatan tertentu akan digabung dan digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran tertentu. Pendekatan ini sesuai digunakan untuk kelas-kelas yang terdiri daripada murid-murid yang pelbagai kebolehan.

Pengajaran eklektik amat penting dalam membantu meningkatkan kemahiran mengeja dan juga kemahiran membaca dalam kalangan kanak-kanak.  Pendekatan eklektik juga digunakan apabila sesuatu pengajaran memerlukan guru menggunakan berbagai-bagai pendekatan tidak hanya dengan penggunaan satu bidang pendekatan yang mirip kepada satu teori sahaja.

Pendekatan Komunikatif

Berikutnya ialah pendekatan komunikatif. Pendekatan ini berfokuskan kepada aktiviti berinteraksi dan berkomunikasi. Selain itu, pendekatan ini menekankan makna di dalam proses pengajaran. Dialog yang digunakan adalah tertumpu pada fungsi komunikasi sahaja. Di dalam pendekatan ini, konteks dan situasi sangat dipentingkan. Pada masa yang sama, percubaan untuk berkomunikasi amatlah digalakkan. Terjemahan boleh diterima dengan syarat murid-murid mendapat faedahnya. Bahasa pula diperolehi melalui proses cuba dan ralat.

Selain daripada pendekatan induktif, pendekatan deduktif, pendekatan eklektik dan pendekatan komikatif, terdapat juga pendekatan-pendekatan seperti pendekatan situasi, pendekatan psiko-linguistik, pendekatan terjemahan dan pendekatan nahu. Pendekatan-pendekatan ini timbul berasaskan teori-teori pembelajaran yang berbentuk mentalis atau behavouris. Contohnya jika kita mengikut teori mentalis atau kognitif maka pendekatan yang digunakan adalah seperti pendekatan terjemahan dan pendekatan nahu. Bagi teori behavouris atau S-R maka pendekatan pengajaran yang digunakan adalah pendekatan komunikasi dan situasi.

Rumusan yang boleh dibuat ialah pendekatan merupakan sesuatu yang agak umum dan seolah-olahnya menunjukkan sesuatu haluan tetapi tidak menerangkan bagaimana caranya untuk menuju haluan itu. Cara-cara yang digunakan untuk menuju arah yang ditetapkan oleh sesuatu pendekatan pengajaran adalah kaedah-kaedah pengajaran.

No comments:

Post a Comment