Tuesday 5 June 2012

Konsep Strategi: Pengayaan


Pengayaan
             
Pengayaan adalah sejenis aktiviti pembelajaran yang menarik dan mencabar untuk memberi peluang kepada murid mengembangkan sifat ingin tahu, semangat berdikari, daya kreativiti dan semangat kepimpinan. Perkara  ini disediakan untuk semua murid sama ada untuk kumpulan cerdas, sederhana atau lemah. Aktiviti pengayaan berlainan daripada aktiviti pembelajaran kemahiran asas. Pengayaan diberi kepada murid selepas mereka berjaya menguasai kemahiran asas tertentu. Murid menggunakan kemahiran asas yang dikuasai untuk menjalankan aktiviti pengayaan. Aktiviti pengayaan akan meluaskan pengalaman dan pengetahuan murid sejajar dengan kebolehan dan minat mereka dalam bidang tertentu.

            Objektif pengayaan ialah murid dapat menggunakan kemahiran-kemahiran yang telah dikuasai dalam pelajaran biasa untuk memperluaskan pengalaman dan pengetahuan mereka dalam pelajaran tertentu. Selain itu, guru dapat melakukan kegiatan pembelajaran yang menarik dan mencabar kebolehan murid. Malahan, aktiviti pengayaan dapat melahirkan daya cipta melalui pemikiran dan kegiatan serta kebolehan untuk menilai sesuatu hasil kerja sendiri. Pada masa yang sama, aktiviti ini dapat memupuk minat dan menguasai bacaan luas dengan membuat rujukan terhadap pelbagai bahan dan sumber pengetahuan. Secara tidak langsung, murid akan cenderung untuk belajar sendiri dan berdikari untuk membolehkan mereka meneruskan pembelajaran seumur hidup.

            Sebagai seorang guru, kita perlu mengambil kira beberapa perkara semasa merancang aktiviti pengayaan. Misalnya, guru perlu menggunakan daya usaha sendiri dan membuat kerja sendiri serta hasilan kendiri. Guru juga harus memberi penekanan kepada aktiviti yang bersifat kreatif dan eksperimental. Selain itu, guru boleh menggunakan kaedah dan organisasi yang mudah diubah serta melibatkan pembacaan yang luas. Akhir sekali, guru akan mestilah memberi peluang kepada murid bagi mengembangkan sifat kepimpinan sosial.

            Contoh-contoh aktiviti yang boleh dijalankan di bawah program pengayaan ialah pembelajaran akses kendiri, kerja projek, bacaan tambahan, permainan dan rekreasi, serta pembelajaran berbantukan komputer.

No comments:

Post a Comment