Tuesday 5 June 2012

Konsep Strategi: Penyerapan

Penyerapan

            Penyerapan merupakan satu proses penyebatian dan menyatupadukan pengetahuan atau unsur pengetahuan daripada satu mata pelajaran lain sebagai isi pelajaran bagi sesuatu mata pelajaran yang diajar. Dalam pengajaran Bahasa Melayu, unsur ilmu, nilai dan kemahiran bernilai tambah seperti kemahiran berfikir, kemahiran belajar dan kajian masa depan boleh diserapkan.

            Penyerapan boleh dilihat dalam dua aspek iaitu aspek pembelajaran dan aspek komunikasi. Penyerapan dalam aspek pembelajaran boleh membantu murid untuk menambahkan kefahaman dan kemahiran untuk mematuhi arahan serta peraturan melalui aktiviti yang dijalankan. Selain itu, dapat membentuk sikap ingin menambah ilmu pengetahuan dalam diri seseorang murid. Cara ini juga boleh membantu murid meluaskan ruang untuk meneroka bidang ilmu yang mereka gemari. Seterusnya, murid akan dipupuk dengan corak pemikiran yang terbuka dan sentiasa ingin tahu. Dalam aspek pemikiran pula, murid dapat membentuk pemikiran yang rasional, logik, objektif dan positif. 

            Penyerapan dalam aspek komunikasi pula dapat membantu murid menguasai pengetahuan mengenai penggunaan perbendaharaan kata, pemilihan laras bahasa, tatabahasa, kegunaan intonasi dan perlakuan bukan bahasa yang lain mengikut konteks. Berikutnya, murid dapat memahami dan menerima serta mengamalkan aspek-aspek nilai yang sesuai untuk perkembangan diri. Seterusnya, menguasai dan mengamalkan tingkah laku yang bersesuaian dan diterima oleh rakan sebaya dan masyarakat.

            Penyerapan dalam KBSR merangkumi dua perkara iaitu pengetahuan atau isi pelajaran dan nilai murni. Bahan atau kandungan isi pelajaran daripada mata pelajaran lain seperti Agama Islam, Pendidikan Seni, Pendidikan Moral dan sebagainya yang digunakan sebagai isi kandungan dalam satu mata pelajaran untuk mata pelajaran lain. Pada masa yang sama, terdapat juga pelbagai karya sastera seperti pantun, syair, sajak dan gurindam. Di samping itu, diserapkan juga pengetahuan am dan hal ehwal budaya (warisan dan kemasyarakatan). 

            Nilai murni boleh diterapkan dengan pelbagai cara sepanjang pengajaran secara terancang dalam aktiviti pembelajaran. Strategi utama untuk pembinaan nilai-nilai murni ialah melalui aktiviti secara individu diikuti berkumpulan seterusnya kelas. Adakala nilai murni tidak dinyatakan secara terus tetapi boleh disampaikan secara terancang dalam satu waktu pengajaran dan pembelajaran. Pemupukan nilai murni ini boleh dilakukan melalui aktiviti yang melibatkan murid secara aktif seperti gerak kerja kumpulan dan kerja projek.

No comments:

Post a Comment