Teori Huraian Bahasa
Teori huraian
bahasa dapat dibahagikan kepada empat aliran pemikiran iaitu teori tradisional, teori struktural, teori
transformasi generatif dan teori fungsional.
Teori Tradisional
Teori
ini telah dipelopori oleh Panini pada abad ke-15. Kajian bahasa dalam teori ini
adalah dibuat terhadap bentuk-bentuk tulisan. Kajian yang dilakukan oleh ahli
bahasa Arab ialah terhadap tulisan Al-Quran manakala orang Hindu pula mengkaji
tulisan Sankrit. Menutur pandangan teori ini, bahasa boleh berkembang. Setiap
bahasa mempunyai hubungan dengan bahasa induk.
Teori
ini juga berpendapat bahawa tatabahasa bersifat sejagat dan berasaskan
tatabahasa Yunani dan Latin. Bahasa merupakan cabang ilmu falsafah yang
menyelidik tabii alam. Kajian yang dilakukan terhadap bahasa bersifat deduktif
iaitu mementingkan hukum-hukum sesuatu bahasa. Pengkaji teori ini juga
menetapkan golongan kata kepada kata nama, kata sifat dan kata kerja.
Pengajaran
dan pembelajaran yang menggunakan kaedah tradisional adalah lebih kepada
aktiviti terjemahan. Unsur penting ketika mengaplikasikan teori ini ialah
kemahiran menulis diutamakan. Hal ini kerana kajian yang dilakukan adalah
berdasarkan bahan tulisan. Aktiviti terjemahan ditekankan kerana sifat bahasa
yang sejagat. Selain itu, makna sesuatu perkataan juga ditekankan kerana makna
perlu difahami ketika pertuturan. Kesilapan umum yang dilakukan perlu
dibetulkan kerana akan menjadi masalah yang utama. Teori ini juga menyatakan
kekecualian hukum dalam bahasa. Hal ini kerana setiap hukum tidak dapat dielak
dari kekecualiannya. Manakala penyampaian pengajaran adalah secara deduktif
yang mementingkan penghafalan hukum.
Teori Struktural
Teori
ini dipelopori oleh Bloomfield pada abad ke-20. Kajian yang dilakukan adalah
mengenai fonem dan morfem serta kaitan fonem, morfem dan ayat. Menurut teori
ini, ciri-ciri bahasanya bersifat pertuturan, bersistem, arbitrari dan untuk
perhubungan. Ahli-ahli bahasa ini banyak mengumpulkan bahan pertuturan dan
mementingkan fakta-fakta yang dilihat dan ditemui.
Dalam
pengajaran dan pembelajaran bahasa pula, teori ini menggunakan kaedah terus, fonetik, linguistik
dan audiolingual. Unsur penting dalam teori ini ialah hafalan struktur ayat
yang betul. Lisan juga merupakan salah satu unsur pening di dalam teori ini.
Pengetahuan tentang fonetik, morfologi dan sintaksis diperolehi daripada
contoh-contoh ayat. Selain itu, teori ini tidak mementingkan makna perkataan
dan pembelajaran bahasa adalah bersifat mekanis.
Teori Transformasi Generatif
Teori
Transformasi Generatif bermula pada tahun 50-an dan dipelopori oleh Noam
Chomsky. Berdasarkan teori ini, bahasa ialah aktiviti mental yang mempunyai
sistem tentang rumus-rumus yang abstrak dan bersifat sejagat. Semua kanak-kanak
normal mampu menguasainya. Bahasa terdiri daripada bunyi (surface structure)
dan makna (deep structure).
Setiap
ayat mempunyai struktur dalaman (makna) dan struktur permukaan (fonetik) yang menghasilkan
pertuturan. Setiap bahasa perlu mempunyai satu set rumus fonetik, morfologi,
sintaksis dan perbendaharaan kata. Selain itu, bahasa mempunyai rumus-rumus
dasar dan rumus-rumus transformasi. Bahasa adalah kreatif dan penutur yang
natif boleh menghasilkan ayat-ayat yang belum pernah didengari. Misalnya,
hasilan sajak dan puisi yang menggunaka bahasa yang kreatif. Bahasa juga adalah
sejagat. Setiap kanak-kanak dapat menguasai bahasa ibunda mereka masing-masing.
Pada
pandangan ahli bahasa teori ini, pengajaran dan pembelajaran bahasa adalah
membentuk kecekapan bukan kebiasaan. Selain itu, bahasa ialah aktiviti mental.
Oleh sebab itu, guru perlu mengambil kira kebolehan sejadi murid-murid. Pada
masa yang sama, guru perlulah menggalakkan murid membentuk pertuturan baharu
secara kreatif berdasarkan pengetahuan tentang rumus-rumus bahasa yang diberi
bukanlah menghafal ayat-ayat yang diberi semata-mata. Guru juga boleh mengajar
murid-murid bentuk-bentuk dasar terlebih dahulu diikuti dengan bentuk-bentuk transformasi
mengikut senang kepada sukar. Apabila murid melakukan kesilapan, guru boleh
menggunakan kesilapan murid-murid sebagai asas membaikinya kerana kesilapan
bukan satu kesalahan tetapi satu proses pembelajaran. Teori ini juga
mementingkan penulisan kecekapan.
Teori Fungsional
Teori
ini bermula pada tahun 60-an sehingga 70-an dan dipelopori oleh Haliday dan
Wilkins. Berdasarkan teori ini, bahasa mempunyai struktur tertentu untuk
menggambarkan fungsinya sebagai idealisme (penyampaian idea) interpersonal dan
pengucapan umum. Fungsi sosialnya penting untuk membentuk sistem bahasa.
Teori
fungsional menganggap sistem bahasa adalah terbuka dan dinamik. Bahasa terdiri
daripada satu struktur yang mempunyai fungsi tertentu sebagai alat berfikir (idealisme),
alat perhubungan dengan orang lain (komunikasi interpersonal) dan alat
pengucapan umum. Bahasa juga terdiri daripada variasi-variasi iaitu pelbagai
dan berubah-ubah untuk menentukan fungsinya. Misalnya, laras bahasa mengikut
situasi, tempat, bidang dan sebagainya. Selain itu, bahasa merupakan alat
perhubungan menggambarkan pemikiran penuturnya. Manakala semantik pula
merupakan elemen penting bahasa. Asas kajian bahasa ialah makna bukan
sintaksis.
Pengimplikasian
teori ini dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa adalah menggunakan
pendekatan komunikatif. Murid harus diajar menguasai sistem bahasa dan
menggunakannya dalam situasi sosial secara fleksibel dan spontan. Seseorang
murid itu perlu memahami maksud sosial bahasa yang dipelajari. Guru juga perlu
memastikan sistem bahasa yang dipelajari oleh murid, mestilah difahami sebagai
sebahagian daripada sistem bersifat komunikatif. Seterusnya, murid sepatutnya
boleh menggunakan pelbagai strategi berbahasa untuk menyampaikan makna,
unsur-unsur para linguistik dan unsur-unsur supra segimental atau prosodi. Dari
aspek membaiki kesilapan murid bahasa pula, guru perlu membaiki bahasa dengan
bentuk-bentuk bahasa yang lain. Seseorang murid hanya dianggap cekap berbahasa
jika dia menguasai sistem atau hukum tatabahasa dengan sempurna dan boleh
menggunakan sistem tersebut dalam situasi sosial.
No comments:
Post a Comment