Tuesday 5 June 2012

Teori Pemerolehan Bahasa

Teori Pemerolehan Bahasa
            Di bawah teori pemerolehan bahasa, terdapat empat teori lain iaitu, teori behavioris, teori kognitif, teori mentalis dan teori interaksionalisme.

Teori Behavioris
            Teori ini telah dipelopori oleh Skinner, Pazlov dan Thondike. Teori ini menyatakan bahawa sesuatu kemahiran termasuk bahasa diperoleh dari persekitaran. Murid-murid terangsang dan tertarik untuk bertutur. Setiap pertuturan yang betul diberi ganjaran dan diulang-ulang hingga menjadi kebiasaan. Pembelajaran bahasa adalah satu proses mekanis. Pengkaji teori ini berpendapat otak manusia umpama kotak hitam.
            Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, kemahiran lisan merupakan aspek yang paling penting daripada kemahiran menulis. Kemahiran menulis merupakan kemahiran kedua terpenting. Oleh sebab itu, guru haruslah mengajar lisan terlebih dahulu dan memberi penekanan kepada latihan lisan, kemudian diikuti dengan kemahiran menulis. Oleh sebab bahasa merupakan satu tabiat atau kebiasaan, guru perlu mengutamakan latih tubi. Maksudnya, guru perlu memberi latihan yang mencukupi untuk murid sehingga seseorang murid itu berjaya menguasai dan memahami sistem bahasa yang dipelajari. Selain itu, hukum tatabahasa tidak perlu dipelajari secara formal oleh murid-murid.
           Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, guru perlu bermula dengan pola yang mudah kemudian beralih kepada yang lebih sukar. Guru juga boleh bermula dari unit terkecil kepada unit yang lebih besar (binaan). Perkara ini boleh memudahkan murid-murid memahami tajuk yang dipelajari.
            Di samping itu, guru juga perlu kreatif menyediakan bahan rangsangan bagi menarik minat murid-murid untuk mempelajari tajuk yang disampaikan. Pada masa yang sama, guru juga harus menyediakan ganjaran kepada tindakan atau jawapan yang tepat. Ganjaran yang diberi ini dapat membuat murid tersebut terus mengulangi perkara yang betul sehingga menjadikannya tindakan yang bersifat automatis. Oleh sebab, pembelajaran merupakan satu proses rangsangan dan tindak balas, guru perlu memainkan peranannya sebagai penggerak dan pengalak untuk menarik minat murid ke dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung.
            Berikutnya, guru merupakan contoh atau model kepada murid-murid. Setiap perbuatan dan percakapan guru akan dicontohi dan menjadi ikutan murid. Oleh sebab itu, guru memainkan peranan yang penting dalam menggunakan bahasa yang betul untuk dicontohi murid.

Teori Kognitif
            Teori kognitif dipelopori oleh Jean Piaget da Gestalt. Teori kognitif merupakan proses mental yang memainkan peranan penting untuk memperoleh bahasa, khususnya bahasa pertama (bahasa ibunda). Kanak-kanak mempunyai keupayaan khusus untuk mendengar, mentafsir bunyi-bunyi bahasa yang didengar. Kanak-kanak juga memperoleh bahasa pertama dalam masa yang amat singkat iaitu 4 sehingga  5 tahun sahaja.
            Pembelajaran bahasa ialah proses mental (berfikir). Oleh sebab itu, kanak-kanak perlu mempunyai pengetahuan untuk memahami bahasa (makna) dan bukanlah bergantung pada latihan giat semata-mata. Kesalahan yang dilakukan murid bukan kegagalan tetapi percubaan yang baik. Teori ini juga menyatakan kanak-kanak belajar berdasakan konsep cuba jaya. Maksudnya di sini, murid-murid akan diberi peluang untuk cuba menjawab soalan sehingga mereka berjaya melaksanakannya. Peranan guru dalam memberi latihan pula, guru tidak harus memberi latihan yang berbentuk kebiasaan yang automatis tetapi memberi latihan yang membina kecekapan dengan menggunakan rumus-rumus yang dibentuk. Menurut teori ini tulisan dan bacaan adalah diutamakan kerana sebagai peneguhan kepada lisan. Oleh sebab itu, guru perlu mengutamakan penulisan dan pembacaan. 

Teori Mentalis
       Teori ini dipelopori oleh Noam Chomsky. Menurut Noam Chomsky, kanak-kanak dilahirkan dengan keupayaan Language Acquisition Device (LAD). Kanak-kanak mendengar bahasa di persekitaran mereka. Berdasarkan situasi sebenar, mereka mendengar, menganalisis, membentuk konsep dan rumus tatabahasa. Kemudian mereka akan membentuk ayat. Menurut Noam Chomsky, kanak-kanak mula bertutur dalam bahasa pertama mereka ketika mereka berumur lapan belas bulan. Penguasaan sebutan (struktur luaran) adakala tidak sama dengan penguasaan rumus tatabahasa dan makna (struktur dalaman) walaupun penguasaan bahasa luaran bergantung kepada keupayaan bahasa dalaman.
      Di dalam pengajaran dan pembelajaran, setiap murid seharusnya berupaya menguasai bahasa dengan sempurna kerana mereka mempunyai LAD. Guru perlu mengajar bahasa secara deduktif. Manakala tatabahasa pula diajar secara langsung dan berstruktur. Pada masa yang sama, mereka perlu menguasai rumus tatabahasa agar mereka dapat menggunakannya secara kreatif. Maksudnya di sini, murid dapat menghasilkan ayat-ayat baharu.
      Selain itu, guru digalakkan memberi peluang kepada murid untuk berfikir ketika pengajaran dan pembelajaran bahasa. Hal ini kerana mereka dapat membina konsep dan makna.Ketika pengajaran dan pembelajaran berlangsung, murid perlu didedahkan dengan bahan-bahan sebenar (authentik) bukan bahan yang diada-adakan. Pengajaran dan pembelajaran bahasa juga mementingkan kemahiran membaca dan menulis dan tidak mengabaikan kemahiran mendengar dan bertutur. Dari aspek memberi latihan pula, guru perlulah memberi latihan-latihan yang membina kecekapan dengan menggunakan rumus bahasa secara kreatif. Selain itu, guru digalak menyedarkan kesilapan murid dan menggalakkan murid membaiki kesilapan yang dilakukan berdasarkan pengetahuan rumus yang telah dipelajarinya.

Teori Interaksionalis
    Teori ini dipelopori oleh Halliday. Teori ini menerangkan perkembangan bahasa kanak-kanak melibatkan interaksi bahasa dan proses mental. Kanak-kanak memperoleh bahasa kerana mereka mempunyai keperluan untuk berinteraksi dengan ahli keluarga dan masyarakat. Sebagai ahli masyarakat, mereka juga seharusnya mempunyai kemampuan menguasai kemahiran menggambarkan pemikiran dalam bentuk bahasa yang sesuai dengan situasi sosial. Ketika kanak-kanak berinteraksi, mereka akan menguasai makna yang lebih tepat. Teori ini lebih memberi penekanan dalam membina keyakinan berkomunikasi idea atau makna.
            Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, penyampaian makna yang tepat adalah penting untuk berinteraksi di samping struktur tatabahasa yang betul. Oleh sebab itu, makna dan tatabahasa diajar serentak. Murid juga harus didedahkan kepada situasi linguistik untuk membolehkan mereka menggunakan bahasa dalam interaksi yang berkesan. Guru perlulah mewujudkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan menarik supaya dapat memberi makna kepada murid. Dari aspek kesilapan yang dilakukan oleh murid, guru tidak perlu membaiki kesilapan bahasa murid. Guru hanya menyedarkan murid sama ada bentuk atau struktur yang mereka guna itu betul atau salah. Kemudian, guru meminta mereka membetulkan sendiri. Guru juga boleh menggunakan teknik latih tubi yang bermakna secara sedikit untuk mendedahkan struktur ayat.

No comments:

Post a Comment