Tuesday 5 June 2012

BMM3114 Kebudayaan Melayu: Nilai Yang Terdapat Dalam Pantun

Nilai Mementingkan Budi
Menurut Prof Madya Dr Jelani Harun, makna luas akal budi Melayu telah tertanam kukuh dalam hasil sastera dan telah sekian lama menjadi medium pendidikan dan hiburan masyarakat Melayu.

Tambahan, budi merupakan satu nilai sosiobudaya yang amat dipentingkan dalam masyarakat Melayu sehingga setiap anggota masyarakat diterapkan dengan nilai tersebut sejak mereka kecil lagi.

Manakala, menurut Mustafa Haji Daud (1995) pula, ciri budi itu merupakan akhlak yang mulia dan mencakupi sifat ikhlas, jujur, benar, merendah diri, pemurah, suka menolong, berjasa dan berbakti.

Apabila kata budi ditambah dengan awalan ber- akan menjadi berbudi. Kata berbudi bermaksud mempunyai budi, atau mempunyai pekerti yang baik atau akhlak terpuji, dan orang yang berbudi ialah orang yang berpekerti baik atau berakhlak terpuji.

Anwar Redwan pula dalam bukunya Minda Melayu (2008), menjelaskan bahawa orang Melayu lama amat menitikberatkan perbuatan “menabur budi”, “membalas budi” dan “berbudi tinggi” yang sering diungkap melalui frasa “berbudi bahasa”.

            Berikut merupakan contoh pantun tradisional yang mendukung makna mementikan budi. Pantun-pantun tersebut diambil daripada buku Mohd Rosli Saludin (2007:35–37),

       Pulau Pandan jauh ke tengah,
                   Gunung Daik bercabang tiga;
       Hancur badan dikandung tanah,
                   Budi yang baik dikenang jua.

Pisang emas dibawa belajar,
                       Masak sebiji di atas peti;
            Hutang emas boleh dibayar,
                       Hutang budi dibawa mati.

Anak nelayan membawa cangkul,
            Menanam ubi di tanah darat;
Beban sekoyan dapat dipikul,
            Budi sedikit terasa berat.


                        Berdasarkan tiga rangkap pantun tersebut, kita dapat melihat bagaimana budi yang baik itu akan dikenang walaupun sudah hancur badan dikandung tanah, iaitu dalam erti kata lain, walaupun seseorang itu telah meninggal dunia, budi yang baik tetap akan dikenang sampai bila-bila. Di samping itu, masyarakat Melayu juga meletakkan nilai budi itu begitu tinggi sehingga akan dibawa mati hutang budi itu. Mereka turut berpendapat bahawa hutang emas mampu dibayar tapi hutang budi tidak dapat dibayar. Seterusnya, masyarakat Melayu juga menganggap budi yang dicurahkan walaupun sedikit terasa sangat berat untuk dipikul. Beban budi itu lebih berat jika dibandingkan dengan beban sekoyan. Sesungguhnya, masyarakat Melayu menggambarkan bahawa seseorang itu mampu memikul beban sekoyan namun beban budi yang sedikit pula terasa sungguh berat. Perkara ini menjelaskan nilai budi itu sungguh berat dan bernilai.

No comments:

Post a Comment