Tuesday 5 June 2012

EDU 3107 Bimbingan Kaunseling: Penemuan Diaplikasikan di dalam Bilik Darjah


Sejauh manakah kaedah penemuan boleh diaplikasikan  di dalam bilik darjah di Malaysia?

Di Malaysia, situasi di dalam bilik darjah tidak begitu menggalakkan untuk penggunaan kaedah penemuan. Nisbah guru dengan murid adalah sangat tinggi. Bilangan murid yang ramai di dalam sesebuah kelas, antara 35 hingga 50 orang murid, terutamanya di bandar, menyukarkan pengaplikasian kaedah penemuan di dalam bilik darjah. Bilangan murid yang ramai itu menyukarkan guru menjadi pemudah cara dan pembimbing murid.  Selain itu, saiz fizikal bilik darjah  juga  kecil dibandingkan dengan bilangan murid. Implikasinya, kerusi meja terpaksa disusun mengikut cara tradisional, iaitu baris demi baris. Susunan sedemikian, termasuk ruang yang sempit di dalam bilik darjah kurang sesuai untuk menjalankan pelbagai aktiviti kaedah penemuan. Pergerakan murid terhad untuk menjalankan aktiviti dan hal ini menjejaskan kejayaan kaedah penemuan. Pada hari ini, walau pun kerajaan telah banyak berbelanja untuk melengkapkan sekolah dengan pelbagai infrastruktur, masih terdapat banyak sekolah terutamanya di luar bandar dan pedalaman yang masih kekurangan kemudahan fizikal dan sumber pembelajaran seperti komputer, perpustakaan yang kondusif, pusat akeses kendiri, perabot dan bilik simulasi. Kemudahan dan peralatan sedemikian diperlukan untuk menjalankan aktiviti kaedah penemuan. Kekurangan kemudahan sedemikian dapat menjejaskan implementasi kaedah penemuan di dalam bilik darjah di Malaysia
Pengaplikasian kaedah penemuan akan berjaya jika kerajaan mengambil langkah untuk memperbaiki situasi di sekolah. Sejak April tahun lepas, kerajaan telah mengambil beberapa tindakan seperti menyiapkan dan melengkapkan lebih kurang 90% daripada makmal komputer di seluruh Malaysia. Projek yang tergendala sekarang sudah mendapat nafas baru dan kerajaan telah memperuntukkan lebih kewangan untuk menaik taraf kemudahan yang sedia ada. Selain itu, sembilan buah sekolah baru yang lengkap dengan kemudahan TMK telah dibina. Jika usaha sedemikian berterusan, hasrat untuk mengimplementasikan kaedah penemuan di dalam bilik darjah boleh dicapai.

Noktah : 
Ceria selalu......
 

No comments:

Post a Comment